KHAULA2U.com

Maafkanku Palestin, bangsaku masih lagi lena.

Di mana mujahidin Malaysia!?

Islam Is The Empire Of Faith


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Jumaat, 29 Januari 2010

Wasiat AS-Syahid

JANGAN BANYAK BERDEBAT, WASIAT KE 4 HASSAN AL-BANNA.

Janganlah memperbanyakkan perdebatan dalam pelbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tidak akan mendatangkan kebaikan, demikian wasiat Hasan al-Banna. Sememangnya, perdebatan lebih banyak mengundang kehancuran kerana pada realiti hari ini, umat Islam terdedah dengan sifat angkuh, kurang ilmu serta tidak menghormati kebenaran. Mereka lebih suka berdebat sekadar menonjol-nonjolkan kehebatan diri. Sedangkan, yang jujur berdebat mengenai hal-hal dasar sangat kurang.

Dalam pada itu, kita lihat ramai sekali yang suka berdebat akan memilih tajuk-tajuk yang ringan, bersifat rantingan dan ini tentunya membuang masa. Sesetengah isu itu sudah lama didebatkan dan ia cuma diulang semula semata-mata mahu meraih publisiti, menonjol-nonjolkan kehebatan diri. Sudah tentulah hal ini membazirkan masa dan pendirian Islam berhubung masa sangat jelas.


"Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian."

Demikian maksud ayat al-Quran yang ringkas dan padat dengan falsafah itu.

Mengundang lebih banyak pertengkaran

Sebenarnya bukanlah Hasan al-Banna tidak menggalakkan debat. Tetapi hampir kesemua debat ini lebih banyak mengundang parah dan bahaya perpecahan. Sebabnya, pihak yang berdebat itu tidak berbahas dengan ikhlas, berhikmah, beradab dan intelektual. Mereka mungkin tidak menjaga lidahnya daripada memaki hamun, mengeluarkan kata-kata kesat dan semua ini akan menyinggung perasaan pihak-pihak tertentu dan akhirnya akan menimbulkan pertengkaran yang berakhir dengan perpecahan. Apabila berlaku lebih banyak perpecahan, maka yang untungnya adalah golongan kuffar yang sentiasa mengintai kelemahan dan meneropong pekung dalaman umat Islam sendiri. Dan, retak-retak perpecahan itulah yang melambatkan kemenangan dakwah Islam.

Hadis yang masyhur telah menyebutkan bahawa umat Islam ini terpecah kepada 73 puak.

"Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 golongan dan umatku terpecah kepada 73 golongan. Semua mereka masuk neraka kecuali satu golongan yang selamat."

Sahabat bertanya: " Siapakah yang selamat itu ya Rasulullah? "

Rasulullah saw bersabda: "Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan hidup para sahabatku. " (at-Tirmidzi)

Maka, perpecahan ini disebabkan oleh pemikiran berbeza. Jika mereka berjuang mencari kebenaran dengan kejujuran dan keikhlasan, bertujuan ingin berpandukan jalan hidup dan pemikiran Rasulullah serta para sahabat baginda, maka kemungkinan penyatuan bolehlah dilakukan semula.

Cabaran umat Islam makin berat

Sebetulnya, cabaran umat Islam memang berat dan mereka mestilah cuba mengurangkan ketegangan daripada sudut emosi dan pemikiran. Suatu masa dahulu, umat Yahudi terancam oleh Roman dan mereka telah diperhambakan oleh bangsa Mesir. Maka, dengan ancaman ini, termasuk campuraduk ajaran para pendita yang tidak bertanggungjawab maka mereka terpecah kepada 71 buah golongan.

Umat Kristian turut menerima tempias jarum-jarum Yahudi. Maulana Jalaludin Ar-Rumi lewat kitab Matsnawi menulis bagaimana satu rencana disusun dengan niat mengelirukan aqidah asal Nasrani hingga pada akhirnya mereka berubah menjadi Kristian. Maka bermula saat itu hingga era kegelapan Eropah, Kristian dan Yahudi saling bersengketa sesama mereka.

Akhirnya, Islam tiba di celah-celah sengketa itu. Maka, serangan Yahudi dan Kristian ke atas Islam menyebabkan ancaman ke atas Islam bertambah berat. Ini kerana, umat Islam dikepung pemikiran mereka dan maklumat latar hidup mereka dimonopoli para penjajah yang ada pertalian erat dengan Yahudi dan Kristian. Maka, umat Islam yang sepatutnya memikul amanah sebagai umat pendakwah agama ini ke atas umat lain telah kalah dengan ujian pemikiran kerana sering bersengketa sesama sendiri, dalam mempertarungkan idea antara mazhab. Alangkah baiknya, jika mereka mencuba bidang lain, meneroka bidang lain seperti usaha mengkaji agama-agama lain dan cuba mengheret perhatian penganut agama itu kepada Islam. Maka, debat-debat yang seperti inilah yang mungkin sesuai dilaksanakan.





Debat antara agama atau debat dalam agama?

Di akhir usia dunia hari ini, umat Islam sepatutnya membuat keputusan dengan bijaksana; adakah mereka mahu habiskan masa dengan bertarung idea sesama mazhab dalam Islam, atau menghabiskan waktu dengan bertarung idea bersama penganut agama lain?

Bertarung sesama sendiri, walaupun berlainan mazhab tidak ke mana-mana kerana akhir pada debat itu, kita sendiri mengaku bahawa kita sama-sama menganut Islam yang benar. Maka, tidak berbaloi untuk didebatkan lagi melainkan sekadar memuaskan hati. Dan hal inilah yang mungkin membuang masa, menurut pendapat Hasan al-Banna. Tapi, jika kita mahu manfaatkan masa untuk mengkaji perbandingan antara agama agar dengan itu penganut agama lain dapat menyertai Islam sebagai agama universal ini, maka hal itu tentulah tidak membuang waktu. Sekurang-kurangnya, jika tiada yang menganut Islam selepas debat antara agama-agama itu, setidak-tidaknya kita berjaya membuktikan bahawa Islam adalah agama Tauhid yang masih mempertahan kesucian pengabdiannya berbanding agama samawi yang lain.

Ringkasnya, berdebat dan bertengkar tentang masalah dalam agama Islam itu perlu kita kurangkan kerana ia banyak mengundang keburukan dan perpecahan, sebaliknya debat antara agama samawi lebih berfaedah kerana lebih banyak membawa kebaikan kerana ia termasuk dalam usaha menerangkan kedudukan Islam yang sememangnya tinggi.

Sumber : Harakahdaily.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

"Islam is The Empire Of Faith"